Tuesday, 5 February 2013

mimpi ubah hidup Malik bin Dinar

 
      Ada seorang wali Allah yang bernama Malik Bin Dinar. Diriwayatkan bahawa suatu ketika sebelum Malik Bin Dinar bergelar wali Allah, dia bermimpi bahawa hari kiamat telah berlaku. Semua ahli kubur bangun dari kubur masing-masing. Mereka semua telah diheret ke satu kawasan yang sangat luas dalam keadaan bersesak-sesak. dia juga turut bersama-sama manusia yang ramai itu dalam keadaan kehairanan dan kebingungan.

     Tiba-tiba Malik melihat seekor naga yang besar bermata merah sedang meluru kearahnya. Malik terus berlari menyelamatkan diri. Dia bertemu dengan seorang tua yang berpakaian bersih, kemas serta memakai bauan yang sungguh harum. Malik meminta bantuan orang tua tersebut namun orang tua tersebut tidak dapat membantunya kerana keadaan dirinya  yang tua dan lemah itu. Oleh kerana si tua itu tidak dapat membantu maka Malik tiada pilihan lain melainkan meneruskan lariannya itu.

   Malik terus berlari sehingga melalui laluan mendaki. Dia terus menyusuri laluan itu sehingga ke puncak dan ketika itu dia tidak dapat lari kemana-mana lagi kerana lorong curam di sebelah gunung tersebut menuju kearah api yang menjulang-julang tingginya yang belum pernah dilihatnya itu. Sepanjang hayatnya belum pernah dia melihat gejolak api setinggi dan sebesar itu, ini menyebabkan Malik tidak dapat mengawal dirinya.

  Dalam situasi yang genting itu, Malik telah tergelincir dan hampir tersungkur namun begitu nasibnya baik dan menggagahi juga kakinya untuk meneruskan lariannya. Dia meneruskan lariannya menyusuri satu laluan yang tiba-tiba sahaja terbentang di hadapannya. Walaupun berada dalam keadaan kepenatan, Malik tiada masa untuk berehat, dia meneruskan juga lariannya itu hingga sampai ke hujung jalan yang disusurinya itu. Di penghujung jalan tersebut, Malik telah bertemu semula dengan orang tua tadi.

   Malik meminta pertolongan daripada orang tua terbabit, namun begitu,  orang tua itu berkata "bukan aku tidak mahu menolong kamu wahai Malik, tetapi aku ini lemah wahai Malik," malik berkata, "tapi sekurang-kurangnya tunjukanlah daku akan jalan yang selamat," orang tua tadi menunjukana Malik ke arah sebuah bukit yang tinggi. Malik tiada pilihan lain melainkan mengikut sahaja arah yang diberikan oleh orang tua itu. laluan yang ditunjukan oleh orang tua itu melalui sebuah bukit yang ditunjukan oleh orang tua tadi dan ini memaksa Malik untuk terus mendaki bukit itu. Di puncak bukit itu Malik melihat sebuah lubang seperti mulut gua. Mulut gua itu ditutupi oleh birai yang deperbuat daripada emas bersalut sutera manikam bersinar berkilauan.

   Apabila birai tadi di singkap, muncul anak-anak kecil yang mukanya indah lebih daripada purnama. Tiba-tiba telinga Malik mendengar satu suara yang memanggil-manggil namanya dan dia merasakan bahawasanya dia pernah dengar  suara itu. Dia cuba mengingati semula dimanakah dia pernah mendengar suara itu dan akhirnya dia ingat bahawasanya suara itu kepunyaan anak perempuannya yang meninggal beberapa tahun dahulu yang meninggal pada usia dua tahun.

   Malik mencari arah datangnya suara puterinya itu dan mendapati anaknya sedang melambai-lambai kepadanya tidak jauh daripada darinya. Malik membalas lambaian puterinya itu dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. dalam linangan air mata, puteri kecil itu menerpa ke arah ayahdanya itu sementara si naga yang bermata merah tadi hanya ada beberapa langkah sahaja di belakangnya.

   "Ini ayahku, pergilah engkau dari sini!," kata anak perempuan Malik kepada naga tadi. Naga yang tadinya dalam keadaan yang garang berubah menjadi jinak dan beredar dari situ dengan tenang.

    "Ayah tahukah siapakah naga itu?" tanya si anak kepada bapanya
"Aku tidak tahu siapakah naga itu dan ia secara tiba-tiba mengejarku," jawab Malik
"Ayah, naga itu adalah amalan buruk ayah, dan ia berupa seperti naga yang mengancam ayah sehingga boleh menolak ayah ke dalam api neraka," jawab si puterinya Malik bin Dinar itu.
"si tua yang lemah itu siapa pula?," tanya Malik
"dia adalah amalan kebaikan ayah, oleh kerana amalan ayah terlalu sedikit oleh itu dia tidak dapat membantu ayah kerana dia terlalu lemah, jika dia kuat sudah tentu dia dapat membantu ayah,"

    Mimpi Malik berakhir di situ, dia terjaga dari tidurnya dan mengenang kembali mimpinya itu. Semenjak itu Malik Bin Dinar meningkatkan amalannya sehingga menjadi wali Allah.

_________________________________________________________________________________


kesimpulannya...
kita sebagai manusia haruslah meningkatkan ibadah kita demi kebaikan akhirat kita, walaupun kita berlatar belakangkan yang buruk ia tidak mustahil bagi kita untuk menjadi baik... w.a

*rujukan majalah asuh edisi ke-93 april 2005

No comments: